Lelaki terlibat dalam kebakaran didakwa esok

GEORGE TOWN - Lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes ibu kandung dan adik angkatnya yang maut dalam kebakaran di kediaman sewa di Taman Rathna, Telok Air Tawar pada 10 Disember lalu akan didakwa pada Jumaat.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki berkenaan akan dituduh di Mahkamah Butterworth berhubung kes berkenaan."Ya, akan dituduh esok di Mahkamah Butterworth," katanya ketika dihubungi pada Khamis.Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran sebuah rumah sewa mereka.Dalam kejadian pada jam 9.41 pagi itu, kebakaran membabitkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.Selain dua mangsa itu, seorang lagi mangsa lelaki berjaya dibawa keluar.Mangsa yang berusia 20-an ditemui cedera di kawasan pintu dapur pada jam 10.21 pagi dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.Dua lagi mangsa, Hayani Yaakob, 50-an dan anak angkatnya, Andra berusia lima tahun ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi.Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.21 pagi.