PUTRAJAYA – Semakan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap perolehan projek Tentera Darat (TD) mendapati terdapat beberapa syarikat yang dikenal pasti kerap memperoleh projek bernilai tinggi.Menurut sumber, semakan awal terhadap keseluruhan projek berkenaan mendapati terdapat beberapa syarikat yang berulang kali memperoleh projek bernilai tinggi."Keadaan ini menimbulkan keraguan, namun setakat ini semakan terperinci termasuk pemprofilan syarikat-syarikat terlibat masih belum dijalankan."SPRM turut merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung perolehan projek berkenaan," katanya pada Khamis.Katanya, ketiga-tiga individu terbabit dipanggil pada Rabu lalu, selain SPRM turut menjalankan semakan terhadap beberapa akaun yang disyaki mempunyai kaitan dengan rasuah perolehan."Siasatan awal mendapati bagi tempoh 2023 hingga 2025, perolehan Tentera Darat yang melebihi RM500,000 melibatkan sebanyak 158 projek."Bagi perolehan bernilai di bawah RM500,000 pula, jumlah keseluruhan projek yang direkodkan adalah sebanyak 4,521," katanya.Dalam perkembangan berkaitan, SPRM sebelum ini turut menerima aduan serta merakam keterangan seorang aktivis dikenali sebagai Chegu Bad berhubung maklumat yang diperolehnya berkaitan isu perolehan tersebut.Aktivis berkenaan dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 12 tengah hari bagi menyalurkan maklumat lanjut kepada pihak berkuasa.Sebelum ini, pegawai SPRM dilaporkan hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan siasatan memfokuskan kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.Beliau menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional berlandaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.