Armand sokong nasihat Ku Li, gesa UMNO buat keputusan kerjasama politik

SHAH ALAM – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanafiah menyokong nasihat veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah supaya UMNO mengkaji semula kerjasama politik dalam Kerajaan Madani terutama jika ia dilihat berisiko menyebabkan parti itu kehilangan sokongan penyokong dan rakyat.Beliau menegaskan, UMNO perlu membuat keputusan besar berkait kerjasama politik berkenaan ekoran prinsip mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu tidak dizahirkan secara jelas dalam isu berkaitan Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Menurutnya, isu Titah Adendum tidak seharusnya dilihat sebagai isu peribadi Najib semata-mata, sebaliknya perlu difahami dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu."Apabila keputusan yang dibuat tidak menyebelahi Najib, ia bukan isu tubuh badan beliau, tetapi lebih kepada Perlembagaan negara yang berkait rapat dengan kewujudan Titah Adendum."Jadi kalau parti politik dalam kerajaan tidak mengangkat kedaulatan Raja-Raja dalam Titah Adendum ini, sesuatu perlu dibuat atau dalam erti kata UMNO perlu kaji semula kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li pada Rabu menasihatkan UMNO memikirkan semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan jika menganggap apa yang berlaku dalam kes Titah Adendum membabitkan Najib bertentangan dengan perjuangan parti itu dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.Tengku Razaleigh berkata, pemimpin UMNO dalam kerajaan juga perlu menimbang untuk menyerahkan semula kuasa atau jawatan yang disandang mereka.Kata beliau, ia agar ahli UMNO kembali bersatu untuk menentukan haluan parti dan tidak lagi bergantung kepada mana-mana parti politik lain."UMNO ada undang-undang dan Perlembagaan sendiri yang sepatutnya kita hormati, patuhi dan ikuti. Kalau tidak, tidak ada maknanya perjuangan UMNO selama ini sekiranya hanya kerana kerusi empuk," katanya.Armand Azha yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, sebagai sebuah parti yang mendokong kedaulatan Raja-Raja Melayu, parti tersebut perlu memastikan pendirian dan tindak-tanduknya selari dengan prinsip tersebut, khususnya apabila melibatkan titah yang pernah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.Beliau menjelaskan, kewujudan Titah Adendum itu juga telah disahkan oleh Sultan Pahang, justeru kegagalan mengangkat dan menghormatinya boleh memberi implikasi besar terhadap kepercayaan rakyat terhadap UMNO."Kalau kita lihat kerjasama politik ini boleh membuatkan UMNO hilang sokongan dan dokongan daripada penyokong dan rakyat, kita perlu membuat satu keputusan besar sama ada meneruskan kerjasama politik atau mengambil langkah berani demi kelangsungan perjuangan parti."Kepimpinan UMNO perlu melihat perkara ini dari kesemua sudut bagi memastikan prinsip dan arah tuju parti kita kekal untuk terus mendapat dokongan serta sokongan rakyat Malaysia," ujarnya.