SHAH ALAM - Kemelut politik yang melanda Perlis ketika ini dilihat sebagai bukti jelas kegagalan Pas dan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri itu dengan berdisiplin dan berkeupayaan.Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, konflik yang berlaku bukan sekadar perbezaan pandangan.Sebaliknya menurut Mahfuz, ia sudah menjadi perang terbuka dalam kerajaan negeri apabila Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN dilihat menentang Menteri Besar daripada PN sendiri, manakala ADUN Pas pula bertelagah sesama parti."Perlis memang negeri paling panas dari segi cuaca, namun kemelut politik hari ini jauh lebih panas. Ini potret sebenar kegagalan Pas dan PN apabila diberi kuasa tanpa disiplin serta keupayaan mentadbir," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.Mahfuz berkata, krisis politik berkenaan bukan baharu, sebaliknya telah berlarutan lebih setahun walaupun pelbagai langkah diambil termasuk pertukaran Pesuruhjaya Pas negeri, pelantikan Pengerusi PN baharu serta rundingan tertutup."Namun semua usaha itu gagal. Hakikatnya, masalah sebenar ialah perebutan kuasa dalaman Pas dan kegagalan PN mengawal gabungan mereka sendiri," ujarnya.Beliau turut menyifatkan keadaan itu sebagai memalukan memandangkan Perlis merupakan sebuah negeri kecil, malah keluasan dan jumlah penduduknya lebih kecil berbanding sebuah daerah di Kedah."Namun negeri sekecil ini menjadi antara yang paling tidak stabil, bercelaru dan memalukan dari sudut tadbir urus politik. Jika negeri kecil pun gagal diurus, ini bukan soal cabaran tetapi soal ketidaklayakan," ujarnya.Mahfuz mendakwa situasi yang berlaku merupakan politik ‘tebuk atap’ paling hina kerana melibatkan rumah yang dibina oleh mereka sendiri."Pada 2020, mereka menebuk atap rumah orang, kini rumah sendiri pula yang ditebuk. Tiada tekanan luar dan tiada musuh politik. Kerajaan PN di Perlis sedang mengkhianati mandat rakyat akibat ketamakan serta perebutan kuasa sesama sendiri," ujarnya lagi.Beliau turut mengkritik Pas yang menurutnya selama ini mendakwa membawa politik Islam dan moral tinggi, namun gagal menguruskan konflik dalaman sendiri."Perebutan pengaruh dalam Pas Perlis bukan lagi rahsia. Agama dilaungkan di pentas, tetapi kuasa direbut di belakang tabir," ujarnya.Mahfuz menegaskan, apabila ADUN daripada parti dan gabungan yang sama hilang kepercayaan terhadap kepimpinan sendiri, ia merupakan tanda kegagalan total kepimpinan politik."Pas dan PN sudah hilang autoriti moral untuk bercakap soal kestabilan, integriti dan pentadbiran negara," ujarnya.Beliau berkata, rakyat Perlis kini menjadi tebusan kepada perbalahan dalaman yang berpanjangan sehingga pentadbiran negeri terabai, keyakinan rakyat runtuh dan imej politik Islam tercalar."Pas gagal mentadbir, PN gagal mengawal. Negeri sekecil Perlis pun ke laut. Yang runtuh bukan musuh mereka, tetapi keupayaan mereka sendiri untuk memerintah," tambahnya.