Rumah teres jadi stor simpan rokok seludup diserbu

KLANG – Menjadikan rumah sebagai stor simpanan sebelum mengedar rokok seludup menggunakan kenderaan antara taktik dibongkar dalam serbuan Op Taring Alpha 1 di Bandar Parklands, di sini pada Selasa.Serbuan dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 kira-kira jam 2.30 petang itu turut memberkas lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an ditahan.Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Amanjit Singh berkata,serbuan dilakukan hasil maklumat risikan oleh Cawangan Perisikan Batalion 4 PGA Semenyih dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.Beliau berkata, suspek yang diberkas ketika serbuan dipercayai berperanan sebagai pekerja yang mengedar rokok seludup bagi pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor itu."Pemeriksaan ke atas sebuah rumah teres di lokasi terbabit menemukan sebanyak 750 karton rokok putih dipercayai tidak memiliki cukai kastam."Premis kediaman itu dijadikan stor simpanan sebelum rokok seludup diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang dan Selangor menggunakan kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Katanya, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Nissan Almera yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran rokok seludup berkenaan."Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM320,000."Tangkapan serta barangan rampasan telah dibawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967," katanya.Menurutnya, orang ramai diseru agar terus menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung sebarang aktiviti menyalahi undang-undang bagi membantu usaha membanteras kegiatan penyeludupan.