SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil (PRK) apabila dimaklumkan oleh Speaker akan kekosongan yang telah wujud kerana tiada keperluan berbuat demikian pada masa sekarang.Itu antara tiga opsyen diutarakan penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran mengenai kemungkinan yang disaksikan apabila SPR mempertimbangkan keputusan yang bakal dibuat susulan perkembangan politik semasa di Perlis.Manimaran berkata, keadaan di peringkat ini berbeza dengan kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan di Sabah, yang bakal diadakan PRK pada bulan depan.Menurut beliau, SPR pernah tidak memenuhi keperluan mengisi kekosongan dengan mengadakan PRK di Kedah pada 2009."Cadangan kedua, SPR boleh mempertimbangkan untuk adakan PRK dengan mengambil kira situasi khas yang wujud di Perlis di mana kekosongan dilaporkan boleh membawa kepada ketidakstabilan kerajaan negeri, meskipun tempoh kuat kuasa untuk mengadakan PRK sudah pun berakhir, iaitu mandat kerajaan negeri dalam dua tahun lalu."Kemungkinan dalam keadaan lebih serius dan kritikal, pilihan raya umum negeri mengejut atau 'snap election' boleh dipanggil untuk mendapatkan mandat baharu di Perlis."Langkah ini kemungkinan besar perlu dipertimbangkan bagi merungkai kemelut politik di Perlis. Saya berpandangan ini pilihan terbaik sebagai solusi jangka panjang. Lagipun laporan media menunjukkan kemelut politik di Perlis disebabkan atau diakibatkan oleh pendirian pelbagai parti yang membentuk kerajaan negeri sejak 2022," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Bagaimanapun, jelasnya, kuasa mengadakan atau memanggil pilihan raya baharu terletak di tangan Menteri Besar dengan mendapatkan perkenan Raja Perlis, sama ada baginda mengizinkan ia berlaku atau sebaliknya."Jika ada permintaan daripada Menteri Besar, pihak Istana boleh memberi perkenan atau sebaliknya. Kalau tiada perkenan, pihak baharu boleh diundang untuk membentuk kerjaaan."Kemungkinan ketiga, tiga ADUN Pas yang dilucutkan keahlian boleh membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk memutuskan status mereka sebagai wakil rakyat, dan sehingga itu kedudukan di DUN tidak berubah."Tindakan mahkamah boleh mengambil masa untuk diputuskan dan kemelut politik berlarutan. Oleh itu, ada beberapa kemungkinan serta opsyen bakal disaksikan di Perlis beberapa minggu akan datang," ujar beliau.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kedudukan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli didakwa semakin tertekan apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilaporkan tidak lagi menyokong kepimpinannya, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri tersebut.Mereka didakwa telah menyerahkan akuan sumpah (SD) kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lalu.Pas pula memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani SD berkenaan.Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, ketetapan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu pada Rabu.Menurut beliau, mesyuarat berkenaan membuat keputusan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) bahawa keahlian tiga wakil rakyat terbabit terhenti serta-merta.Abdul Hadi menambah, parti tersebut akan memaklumkan keputusan tersebut secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perlis bagi memenuhi peruntukan Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.Terbaharu, Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan berkata, tiga kerusi DUN Perlis perlu diisi semula sebagai kepentingan kestabilan kerajaan negeri dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.Kata beliau, pihaknya akan meminta SPR mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka tersebut.