Lancar terus Muafakat Nasional sebaik UMNO-BN keluar gabungan bersama PH

SHAH ALAM – Cadangan membubarkan Perikatan Nasional (PN) dan mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN) disambut baik Pas dengan syarat UMNO-Barisan Nasional (BN) mengisytiharkan keluar daripada gabungan bersama Pakatan Harapan (PH).Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu boleh dicapai dengan menubuhkan jawatankuasa perunding."Saya sangat setuju cadangan hidupkan semula Muafakat Nasional. Inilah kunci kekuatan dan kebangkitan semula perpaduan ummah."Tahniah Ketua Pemuda UMNO (Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh). Hidupkan kembali rundingan, tubuh Jawatankuasa Perunding."Sebaik sahaja UMNO-BN isytihar keluar daripada gabungan bersama PH, kita lancarkan terus Muafakat Nasional," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.Dr Muhamad Akmal secara ringkas mencadangkan supaya PN dibubarkan manakala MN diwujudkan semula berikutan perkembangan politik di Perlis ketika ini.Menurut beliau, situasi di Perlis menggambarkan berlakunya dakwaan tikam belakang.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kedudukan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli didakwa semakin tertekan apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilaporkan tidak lagi menyokong kepimpinannya, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri tersebut.Mereka didakwa telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lalu.Pas kemudiannya memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani SD berkenaan.Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, ketetapan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu pada Rabu.Menurut beliau, mesyuarat berkenaan membuat keputusan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) bahawa keahlian tiga wakil rakyat terbabit terhenti serta-merta.Abdul Hadi menambah, parti tersebut akan memaklumkan keputusan tersebut secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perlis bagi memenuhi peruntukan Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.Terbaharu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, tiga kerusi DUN Perlis perlu diisi semula sebagai kepentingan kestabilan kerajaan negeri dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.Kata beliau, pihaknya akan meminta SPR mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka tersebut.Artikel berkaitan: 'Alang-alang bubar sekalilah PN, kita wujudkan semula MN' - Dr Akmal