MELAKA - Baru sahaja wakil syarikat selesai berucap dan tetamu tidak sempat menjamu selera apabila semua diarahkan keluar selepas berlaku kebakaran di dewan sebuah hotel di Bukit Katil dalam kejadian malam Rabu.Situasi itu dikongsikan oleh seorang kakitangan yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku sekitar jam 8 malam.Saksi itu memberitahu, hampir 1,400 kakitangan sebuah syarikat pembersihan menghadiri majlis makan malam tahunan itu."Sebaik sahaja wakil pengurusan selesai menyampaikan ucapan pembukaan, suasana tiba-tiba menjadi gamat."Terdapat kebakaran kecil dari atas bumbung di bahagian belakang dewan sebelum pengacara majlis meminta semua tetamu keluar dan mengosongkan dewan dengan segera," katanya kepada Sinar Harian.Katanya, semua tetamu sempat keluar tanpa sebarang insiden serius, namun seorang pekerja dilaporkan mengalami kecederaan ringan.Ujarnya, beberapa barangan berkaitan program berjaya diselamatkan selepas pasukan bomba selesai memadamkan kebakaran."Majlis makan malam tersebut bagaimanapun terpaksa dibatalkan dan semua tetamu diminta pulang."Setakat ini, tiada maklumat sama ada program berkenaan akan dianjurkan semula atau sebaliknya," katanya.Sementara itu, pihak pengurusan hotel memaklumkan situasi berkenaan telah ditangani dengan segera dan berjaya dikawal oleh pihak berkuasa berkaitan.Katanya, tiada sebarang risiko berterusan terhadap keselamatan kakitangan mahupun tetamu."Pemeriksaan keselamatan menyeluruh telah dijalankan bagi memastikan persekitaran yang selamat dan selesa untuk semua pihak."Semua fasiliti beroperasi seperti biasa, termasuk hotel, taman tema air, muzium seni 3D dan Bounce Safari," katanya.Tambahnya, pihak pengurusan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tetamu yang memahami situasi dan sokongan diberikan.Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.14 malam, membabitkan kebakaran di bahagian dewan hotel berkenaan.Anggaran keluasan kawasan terjejas adalah 100 x 500 kaki persegi dengan peratusan kebakaran sekitar 20 peratus.Operasi pemadaman dilaporkan tamat pada jam 12.21 tengah malam, Khamis.