Pemalsuan dokumen pemain warisan: Polis rakam keterangan 2 individu

KUALA LUMPUR – Dua individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya susulan laporan dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen."Kertas siasatan sudah dibuka dan setakat ini dua rakaman percakapan telah diambil untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Terdahulu, media melaporkan FAM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.Pemangku Presidennya, Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan langkah itu dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka.Menurut beliau, FAM komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.Ujar beliau, langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara.Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 September lalu mengesahkan dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak membabitkan sebarang unsur rasuah.Agensi berkenaan menjelaskan, pihaknya telah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain mengadakan pertemuan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan maklumat lanjut.SPRM menjelaskan dokumen berkaitan proses permohonan serta pendaftaran kewarganegaraan pemain terbabit telah dibekalkan oleh pihak berkenaan.Jelas agensi itu, berdasarkan semakan awal, isu ini dilihat lebih kepada proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM selain tiada asas kesalahan dikenal pasti di bawah Akta SPRM 2009 setakat ini.Bagaimanapun, pada 26 November, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mendesak kerajaan mengarahkan siasatan baharu berhubung dakwaan salah laku melibatkan pemberian pasport kepada tujuh pemain warisan susulan pendedahan dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).Beliau berkata, meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menyatakan tiada unsur jenayah, dapatan FIFA jelas menunjukkan wujud persoalan serius yang perlu disiasat semula.Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor menjelaskan, permohonan tujuh pemain daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan kewarganegaraan diluluskan melalui jalur naturalisasi.Beliau memaklumkan, keputusan dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan iaitu permohonan untuk menjadi warganegara yang datang daripada kerakyatan asing.Penghakiman penuh Badan Penghakiman FIFA menerusi 'notification of the grounds of the Decision-FDD-24394' yang ditandatangani oleh Pengarah Badan Kehakiman FIFA, Luis Villas Pires, sebaliknya mendapati FAM dan tujuh pemain kelahiran luar negara didakwa menggunakan dokumen palsu (sijil lahir datuk/nenek) untuk membuktikan asal-usul Malaysia.Dalam pada itu Ramkarpal turut mempersoalkan bagaimana pemain terlibat boleh memperoleh pasport Malaysia sedangkan mereka didakwa masih memiliki pasport negara asal masing-masing.