'Harap Pas terus terajui Perlis' - Mohd Shukri

KANGAR - Mohd Shukri Ramli berharap Pas dapat terus menerajui kepimpinan kerajaan Perlis susulan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar yang diumumkan pada Khamis.Mohd Shukri dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, meluahkan hasrat itu ketika ditanya media mengenai pengganti beliau."Sepatutnya daripada Pas lah sebab Pas majoriti," jawabnya ringkas.Mohd Shukri turut memaklumkan bahawa peletakan jawatan tersebut adalah disebabkan faktor kesihatan dan keputusan itu dibuat secara sukarela.Beliau turut mengakui bahawa kesilapan dalam pentadbiran berlaku kerana terlalu baik dan menghargai setiap persahabatan sehingga menjejaskan kedudukan politiknya."Saya masih kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan akan memberi tumpuan kepada tanggungjawab tersebut," jelas beliau.Apabila ditanya mengenai tindakan tiga ADUN yang dikatakan melanggar ketetapan parti, beliau menjelaskan bahawa perbuatan itu dianggap sebagai pengkhianatan kerana mengetepikan prinsip parti dan bai‘ah yang menjadi pegangan dalam Pas."Pelanggaran bai‘ah dianggap sebagai pengkhianatan dan sebarang imbuhan yang diterima selepas itu tidak wajar digunakan."Saya sendiri tidak mengetahui lebih awal mengenai gerakan politik yang berlaku dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang dirancang secara rapi tanpa pengetahuan saya. Jika saya tahu, saya akan halang," jelasnya.Media sebelum ini melaporkan, pergolakan di Perlis berlaku apabila terdapat lapan ADUN negeri itu mengisytiharkan tidak menyokong kepimpinan Mohd Shukri.Mereka didakwa telah menandatangani akuan bersumpah (SD) dan menyerahkannya kepada pihak Istana Perlis sebelum ini.Lapan ADUN tersebut terdiri daripada tiga ADUN Pas dan selebihnya daripada Bersatu.Susulan itu, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta berikutan pendirian mereka yang dikatakan telah hilang kepercayaan terhadap Mohd Shukri.Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.Sebagai rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Perikatan Nasional (PN) mencipta sejarah apabila memenangi 14 kerusi (Pas 9, Bersatu 5) manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi satu kerusi di DUN Indera Kayangan.Kedudukan terkini, tiga kerusi Pas dikosongkan menjadikan jumlah kerusi DUN Perlis kini tinggal 12, terdiri daripada Pas (6), Bersatu (5) dan PKR (1).