KUALA KRAI - Seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal yang dinaiki bersama bapa saudaranya dipercayai terlanggar dengan sebuah lori di Jalan Kampung Chenih, Pahi di sini pada Khamis.Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Syafiq Rifqi Saidi, 10, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Mohd Maizan Musataffa berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian lori yang membawa muatan tanah dari arah jalan utama Kota Bharu-Gua Musang menghala ke Kampung Chenih."Sementara motosikal yang dinaiki mangsa menuju keluar dari Kampung Chenih. Setiba di lokasi kejadian motosikal itu telah terlanggar bahagian kanan lori yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.Menurut beliau, pelanggaran menyebabkan kanak-kanak berkenaan cedera di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Katanya, penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan.Mohd Maizan memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk proses bedah siasat.Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.