'Cadangan hidupkan semula MN satu perangkap' - Khairuddin

SHAH ALAM - Cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh agar Perikatan Nasional (PN) dibubarkan dan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula berpotensi menjadi 'perangkap samar' kepada blok pembangkang.Pengerusi MN Jasin, Khairuddin Abu Hassan berkata, saranan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia dibuat secara jujur demi penyatuan Melayu atau sekadar untuk meraih kepentingan politik."Ini kemungkinan satu permainan beliau untuk meraih kepentingan politik semata-mata atau hendak memecah-belahkan pembangkang kini."Peringkat awal beliau mencadangkan PN dibubarkan dan hidupkan semula MN sudah menunjukkan sesuatu yang tidak kena kepada cadangannya itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Menurut beliau, MN masih wujud dan tidak perlu dihidupkan semula kerana platform tersebut dipimpin oleh Tan Sri Annuar Musa serta dibantu Tan Sri Noh Omar."MN tidak perlu dihidupkan semula kerana MN masih hidup sehingga kini tetapi yang menjadi masalahnya adalah UMNO yang meninggalkan MN pada suatu masa dahulu," ujarnya.Tambah Khairuddin, pihaknya menyambut baik sebarang usaha penyatuan Melayu namun, ia perlu dimulakan dengan musyawarah tanpa dikenakan sebarang syarat selain perlu penglibatan insklusif semua pihak."Seandainya cadangan itu jujur tanpa sebarang niat muslihat politik ianya mesti disambut dengan baik tetapi pada peringkat awal ini tiada siapa yang harus meletakkan sebarang syarat untuk berunding."Adalah terlalu awal untuk meletakkan syarat seperti PN harus dibubarkan dan sebagainya. Apa yang penting adalah duduk semeja untuk mencari satu formula penyatuan yang boleh menguatkan kedudukan bangsa, negara dan agama secara berkekalan," ujarnya.Menurut Ahli Dewan Tertinggi MN itu, kegagalan mencapai persefahaman hanya merugikan serta melemahkan kedudukan politik pihak dalam jangka panjang."Jangan kita biarkan percaturan politik sesama anak bangsa menjadi sepertimana pepatah Melayu 'menang jadi arang, kalah jadi abu' dan 'jangan biarkan nasi menjadi bubur'."Sekali kita hilang kuasa maka kita akan hilangnya buat selamanya dan jangan mimpi untuk kita dapatkan semula kuasa tersebut," katanya.