Kepakaran Kim Swee ditagih pulihkan maruah bola sepak akar umbi

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menaruh keyakinan tinggi terhadap kredibiliti bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk memulihkan kembali kekuatan bola sepak negara di peringkat akar umbi.Ia susulan pengumuman rasmi pelantikan Kim Swee, 55, sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang baharu berkuat kuasa 1 Disember lalu, bagi menggantikan Oscar Francisco Gonzalez.Menurut FAM dalam satu kenyataan, pelantikan Kim Swee diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal NFDP yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram bersama Majlis Sukan Negara (MSN)."Kim Swee yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dilihat sebagai calon paling layak mengisi kekosongan tersebut berdasarkan reputasi cemerlang dan pengalaman luas beliau."Ia bermula dari peringkat Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), meneraju skuad Harimau Muda dan kemuncaknya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 2016," jelas kenyataan itu.Rekod kejurulatihan Kim Swee tidak asing lagi dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah memacu pasukan bimbingannya menjuarai Piala Belia 2007, Liga Premier 2009 serta melakar sejarah memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dan Pestabola Merdeka 2013.Beliau juga pernah membawa Malaysia memenangi pingat perak Sukan SEA 2017, mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 serta layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018.Dari sudut pengurusan teknikal, Kim Swee mempunyai pengalaman luas apabila pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Unit Belia FAM, Penolong Pengarah Teknikal FAM dan Pengarah Teknikal FAM pada tahun 2021.Di peringkat kelab, bekas pemain tengah era 90-an ini pernah membimbing Melaka dan Sabah FC sebelum melebarkan sayap ke Indonesia sebagai ketua jurulatih Persis Solo dan Persik Kediri pada tahun 2024 hingga 2025, sebelum membuat keputusan kembali ke tanah air."Diharapkan Kim Swee dapat memainkan peranan penting selaku peneraju baharu NFDP menerusi perancangan dan pelaksanaan program yang lebih berkesan demi masa depan bola sepak negara," tambah kenyataan itu lagi.