PENYERTAAN pemain seawal usia sembilan tahun dalam Kejohanan Hoki Terbuka D’Touch 2025 dengan kerjasama Persatuan Hoki Daerah Kuantan (PHDK) membuktikan peranan signifikan sukan dalam membentuk disiplin, sahsiah dan jati diri kanak-kanak sejak usia muda.Kejohanan peringkat kebangsaan yang mempertandingkan kategori Bawah 9 (B-9), B-11 dan B-16 itu memberi pendedahan awal kepada pemain cilik terhadap suasana pertandingan sebenar, termasuk pematuhan peraturan, pengurusan masa latihan, kawalan emosi serta disiplin diri ketika berdepan tekanan perlawanan di Stadium Hoki Sukpa di sini.Presiden D’Touch Hockey Club merangkap Pengerusi Kejohanan, Che Wan Rosdan Che Wan Wahab berkata, penganjuran kejohanan tersebut bertujuan menyediakan platform pembangunan awal yang terkawal dan membina kepada pemain muda."Kami mahu kanak-kanak ini memahami bahawa sukan bukan sekadar soal menang atau kalah, sebaliknya menekankan disiplin, usaha berterusan dan semangat berpasukan. Dari sinilah asas pembentukan atlet masa depan negara bermula," katanya.Menurut beliau, pendekatan pembangunan akar umbi yang memberi penekanan kepada nilai dan proses diyakini mampu melahirkan atlet berkemahiran tinggi, selain memiliki sahsiah dan mentaliti kukuh apabila melangkah ke peringkat lebih tinggi.Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Daerah Kuantan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Yazid Mohd Yunus menyifatkan penganjuran kejohanan secara berterusan sebagai satu pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan hoki negara."Pembangunan sukan mesti bermula di peringkat akar umbi. Pendedahan awal bukan sahaja melahirkan pemain yang mahir dari segi teknikal, tetapi individu berdisiplin, berdaya tahan serta mampu mengurus tekanan," katanya.Beliau berkata, kejohanan akar umbi yang dianjurkan secara konsisten merupakan nadi sebenar pembangunan hoki negara.Penganjuran edisi kedua kejohanan itu turut mencerminkan sambutan positif komuniti hoki tanah air apabila lebih 80 pasukan dari seluruh negara mengambil bahagian, sekali gus mengukuhkan kejohanan berkenaan sebagai platform penting pencarian dan pembentukan bakat muda.Dalam saingan kategori B-11 perempuan, BER-1 Girls X dari Perak muncul juara selepas menewaskan finalis senegeri, BER-1 Girls Y, 1-0.Bagi kategori B-11 lelaki, Arhc Black (Anak Rimau Hockey Club) dari Kuala Lumpur menampilkan aksi cemerlang untuk menundukkan SJ Black Panther dari Pulau Pinang, 1-0.Kategori B-9 perempuan menyaksikan dominasi ARHC Red (Anak Rimau Hockey Club) dari Kuala Lumpur yang mengetepikan cabaran GS Princess dari Selangor 5-0, manakala Storm Jr dari Selangor muncul juara kategori B-9 lelaki selepas menewaskan HIPERSIS dari Terengganu, 2-0.Kemuncak kejohanan menyaksikan pertembungan dua pasukan Pahang, D’Touch Cobra dan D’Touch Eagle, yang berakhir dengan kemenangan 2-0 memihak Cobra bagi kategori B-16 perempuan.Dalam kategori B-16 lelaki pula, D’Touch V6 dari Pahang muncul juara selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Antlers dari Melaka.