Kes 1MDB: Penutup episod bicara di Mahkamah Tinggi atau permulaan fasa hukuman lebih berat terhadap Najib

PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Razak hari ini bakal mendengar keputusan kes jenayah terakhir beliau yang masih di peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Istana Kehakiman, Putrajaya.Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini dijangka membaca keputusan berkenaan pada kira-kira jam 9 pagi.Berbeza dengan kes SRC International yang menyaksikan bekas Perdana Menteri itu disabitkan kesalahan dan kini menjalani hukuman penjara, kes 1MDB berjumlah RM2.3 bilion ini mempunyai implikasi jauh lebih besar dari sudut undang-undang, politik dan persepsi awam memandangkan skala dana serta jumlah pertuduhan yang dihadapi.Dalam konteks undang-undang, fokus utama hari ini adalah sama ada barisan pembelaan Najib yang diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dapat menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan atau sebaliknya.Sepanjang 303 hari perbicaraan termasuk 10 hari penghujahan di akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu, pasukan pembelaan menumpukan kepada naratif bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai pengetahuan atau niat jenayah terhadap transaksi berkaitan 1MDB, selain mempertikaikan kredibiliti serta inferens yang dibuat pihak pendakwaan.Namun, 76 saksi, tempoh perbicaraan yang panjang serta penglibatan tokoh-tokoh utama 1MDB dan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kes pendakwaan dibina secara menyeluruh dan bersifat struktural, bukan bergantung kepada satu atau dua keterangan utama semata-mata.Sekiranya mahkamah mensabitkan Najib atas kesemua atau sebahagian pertuduhan, persoalan paling signifikan ialah sama ada hukuman penjara akan berjalan serentak atau berasingan?Jika mahkamah mendapati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, bekas Presiden UMNO itu boleh dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan itu.Namun, beliau masih kekal di penjara bagi menjalani hukuman ke atas atas kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, iaitu lega hukum daripada penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.Walau apa pun keputusan Mahkamah Tinggi, kes profil tinggi ini belum berakhir sepenuhnya.Hak untuk merayu di dua mahkamah lebih tinggi, iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, masih terbuka dan boleh diteruskan kedua-dua pihak.Hari ini menjadi penentu sama ada ia menandakan penutup episod perbicaraan di Mahkamah Tinggi atau permulaan kepada fasa hukuman yang lebih berat terhadap Najib Razak.Bagi empat kes rasuah, Najib yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.Bagi 21 kes AMLA pula, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. - Astro Awani