DUNIA bola sepak Burundi dikejutkan dengan satu insiden tragis apabila seorang pemainnya, Igiraneza Aime Gueric meninggal dunia secara mengejut selepas rebah ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan liga divisyen dua negara itu.Gueric yang merupakan pemain tengah bagi kelab Les Guêpiers du Lac, rebah secara tiba-tiba ketika perlawanan menentang pasukan LLB Amasipiri Never Give Up di Pusat Teknikal Kebangsaan Ngaraga, Sabtu lalu.Pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian segera memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa di atas padang sebelum dia dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.Bagaimanapun, pemain tersebut disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.Persekutuan Bola Sepak Burundi (FFB) menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan kejadian itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pemain serta kelabnya, namun tidak mendedahkan punca sebenar kematian.Memetik laporan Daily Sports, segelintir penyokong yang menyaksikan perlawanan mendakwa pemain tersebut meninggal dunia akibat ritual sihir yang cuba dilakukannya ketika permainan berlangsung.Mangsa didakwa meletakkan sekeping duit siling yang dijadikan sebagai azimat di bawah lidahnya bagi tujuan mendapatkan kelebihan dalam permainan.Malang tidak berbau apabila duit siling tersebut didakwa tertelan secara tidak sengaja menyebabkan dia rebah, sesak nafas dan akhirnya meninggal dunia.Menurut laporan RMC Sport, ini bukan kali pertama Gueric dikaitkan dengan amalan tersebut. Dia sebelum ini pernah berdepan tuduhan menggunakan ilmu hitam di atas padang, namun sering menafikannya.Setakat ini, belum ada laporan bedah siasat rasmi mengenai punca sebenar kematiannya dan berita yang tersebar sebahagian besarnya berdasarkan keterangan saksi serta penyokong di stadium.Susulan tragedi itu, pelbagai pihak di Burundi mendesak agar pemain bola sepak dididik mengenai bahaya penggunaan amalan spiritual atau mistik demi mengejar kemenangan.Persekutuan bola sepak tempatan juga dilaporkan telah mengharamkan penggunaan ‘gris-gris’ (azimat) kerana risiko yang boleh memudaratkan nyawa pemain.Walaupun sering dinafikan oleh mereka yang terlibat, penggunaan ilmu hitam masih dianggap perkara biasa dalam sebahagian budaya bola sepak Afrika.