Laungan ‘Bebas Bosku’ bergema di Kompleks Mahkamah

PUTRAJAYA – Laungan ‘Bebas Bosku’ bergema di kawasan parkir berdekatan Kompleks Mahkamah Putrajaya pagi Jumaat apabila puluhan penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak hadir memberikan sokongan menjelang keputusan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).Sekumpulan individu terdiri daripada beberapa lelaki dan wanita dilihat bersemangat melaungkan slogan tersebut sambil aksi mereka dirakam oleh pengamal media yang turut membuat liputan di lokasi.Bagaimanapun, suasana kekal tenang dan terkawal dengan kehadiran beberapa petugas keselamatan yang memantau keadaan.Seorang penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd berkata, beliau tiba seawal jam 7 pagi semata-mata untuk mengetahui keputusan sama ada Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan atau disabitkan dalam empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan jumlah keseluruhan RM2.3 bilion dana 1MDB."Saya tak mahu ulas panjang, apa pun biar hakim yang tentukan. Namun, saya ingin tegaskan bahawa kehadiran saya pagi ini adalah atas kerelaan sendiri, bukan kerana dibayar oleh sesiapa."Beliau seorang insan yang baik dan terlalu besar jasanya terhadap negara. Saya doakan yang terbaik untuk beliau," katanya ketika ditemui pada Jumaat.Sementara itu, kenderaan membawa peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dilihat tiba di pekarangan kompleks mahkamah sekitar jam 8.56 pagi.Terdahulu, Mahkamah Tinggi dijadual membacakan keputusan kes berprofil tinggi yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu membabitkan dana 1MDB.Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman dijangka membaca keputusan tersebut pada jam 9 pagi.