BUTTERWORTH - Seorang juruukur dituduh membunuh ibu kandung serta adik perempuan angkatnya di sebuah rumah di Teluk Air Tawar pada 10 Disember lalu.Daniel Qayyum Kamalrolzlan, 23, yang berbaju T biru mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Balqis Roslin pada pagi Jumaat.Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh Hayani Yaakob, 51, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di No 4, Lorong Nakhoda 5, Taman Teluk Air Tawar, Butterowrth pada jam 9.45 pagi.Oleh yang demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Idayu Yusoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Menurut Nor Idayu, tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana Mahkamah Majistret tiada kuasa untuk menawarkan jaminan terhadap kes bunuh."Tiada jaminan terhadap tertuduh kerana kes ini adalah kes yang tidak boleh ditawarkan jaminan," katanya.Balqis kemudiannya membenarkan tertuduh tidak diberikan jaminan dan menangguhkan kes hingga 29 Januari depan untuk laporan bedah siasat.Sebelum ini, suspek yang juga anak lelaki kepada mangsa direman hingga 25 Disember bagi membantu siasatan.Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran sebuah rumah sewa mereka.Dalam kejadian pada jam 9.41 pagi itu, kebakaran membabitkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.Selain dua mangsa itu, seorang lagi mangsa lelaki berjaya dibawa keluar.Mangsa yang berusia 20-an ditemui cedera di kawasan pintu dapur pada jam 10.21 pagi dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.Dua lagi mangsa iaitu seorang wanita dan anak angkatnya ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi.