Pelayan restoran, penganggur dan warga emas maut dalam tiga nahas berasingan

JOHOR BAHRU – Tiga maut apabila motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam tiga kemalangan berasingan di sekitar bandar raya ini pada Khamis.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan pertama berlaku pada jam 4.40 pagi di Kilometer (KM) 7.9, Lebuhraya Pasir Gudang manakala kemalangan kedua pada jam 5.50 pagi di Persimpangan Jalan Rahmat ke Jalan Utama di Kampung Melayu Majidee dan kemalangan ketiga pada jam 1.56 petang di Simpang Jalan Desa Mutiara 6, Jalan Persiaran Desa Mutiara."Kemalangan pertama melibatkan seorang penunggang motosikal warga tempatan berusia 29 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR."Siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Iskandar Puteri, namun hilang kawalan dan terjatuh di tengah jalan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Tambah Raub, kemalangan kedua pula melibatkan pelanggaran antara sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama seorang pembonceng, dengan sebuah van yang dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun."Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan sedang melalui jalan lurus sebelum dilanggar van tersebut yang memasuki simpang dari arah bertentangan."Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, manakala pembonceng mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut," katanya.Sementara itu katanya, kemalangan ketiga melibatkan seorang warga emas berusia 76 tahun yang hilang kawalan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat fardu Zohor."Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang datang dari arah Jalan Persiaran Desa Mutiara dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang sedang bergerak serta sebuah lagi MPV jenis Perodua Alza yang diparkir di bahu kiri jalan."Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tujuan bedah siasat," katanya.Menurut Raub, ketiga-tiga kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.Beliau turut memohon orang awam yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau pegawai penyiasat, Inspektor Hafiz Jaafar Mad Ariff di talian 017-5919208 atau Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli di talian 017-3064779.Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta peka terhadap persekitaran bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.