Kolaborasi strategik Taobao Malaysia perkasa pencipta kandungan

SHAH ALAM– Platform e-dagangan antarabangsa di bawah Kumpulan Alibaba,Taobao Malaysia, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Good Foodie Media Sdn. Bhd., anak syarikat Foodie Media Berhad, serta W Talent Academy Sdn. Bhd. dalam usaha memperkasakan pencipta kandungan tempatan melalui Program Affiliate Taobao.Kerjasama strategik itu bertujuan menyokong penglibatan lebih ramai pencipta kandungan Malaysia dalam pemasaran e-dagang rentas sempadan khususnya menerusi kandungan digital dan video pendek selain membuka peluang penjanaan pendapatan kepada pencipta dan pengguna harian.Menurut Taobao Malaysia, kolaborasi tersebut selari dengan komitmen syarikat untuk terus melabur dalam ekonomi pencipta tempatan serta memperluaskan kesedaran jenama melalui pemasaran berasaskan prestasi bersama pencipta kandungan dan pempengaruh tempatan.Ia turut menggalakkan pengenalan produk kepada pengguna melalui penstriman langsung dan kandungan media sosial, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan pembeli terhadap produk luar negara yang ditawarkan di platform berkenaan.Malaysia kekal sebagai antara pasaran utama Taobao di Asia Tenggara, didorong oleh permintaan tinggi terhadap produk antarabangsa berorientasikan nilai. Seiring perubahan tabiat membeli-belah, perdagangan sosial seperti kandungan video pendek dan penstriman langsung dilihat semakin mempengaruhi keputusan pembelian pengguna tempatan.Industri perdagangan digital Malaysia pula dijangka berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) sebanyak 14.32 peratus dari 2025 hingga 2033, mencerminkan peningkatan penggunaan digital serta keyakinan terhadap platform e-dagang. Ketua Pengarah Taobao Malaysia, Jess Lew, berkata, ekonomi pencipta kandungan menawarkan potensi besar khususnya di Malaysia yang mencatatkan permintaan tinggi terhadap produk luar negara."Melalui komisen menarik dan sokongan program affiliate, Program Affiliate Taobao membolehkan pencipta kandungan berpengalaman, pempengaruh mikro serta pembeli harian menjana pendapatan menerusi kandungan yang dihasilkan, di samping membantu pengguna membeli-belah dengan lebih yakin," katanya.Beliau berkata, menerusi kerjasama bersama Foodie Media dan W Talent, Taobao Malaysia menyasarkan untuk merekrut lebih 200 pencipta kandungan bagi menghasilkan kandungan menarik serta mengendalikan sesi penstriman langsung secara interaktif."Usaha ini memberi tumpuan kepada penceritaan sosial yang autentik, produk tular serta pengalaman jenama yang selari dengan gaya hidup tempatan bagi mengukuhkan keyakinan pembeli baharu dan sedia ada," katanya.Antara kategori berprestasi tinggi yang dikenal pasti berpotensi menarik penyertaan affiliate dan aktiviti penstriman langsung termasuk pakaian dan aksesori, aksesori rumah dan hiasan dalaman, sukan dan aktiviti luar, mainan dan barangan koleksi serta perabot.Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang, berkata, kerjasama itu membuka laluan luas untuk meningkatkan kesedaran dan penyertaan dalam Program Affiliate Taobao."Pada masa sama, ia membolehkan lebih ramai pencipta kandungan dan pempengaruh mikro menjana pendapatan baharu melalui model affiliate bagi produk Taobao," katanya.Menurut beliau, Foodie Media akan memanfaatkan rangkaian pencipta kandungan serta pengalaman dalam menghasilkan kempen berorientasikan komersial bagi melengkapkan peserta dengan panduan kandungan dan pemahaman pasaran semasa.Sementara itu, Pengarah W Talent, Lim Yeong Shen, berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Taobao Malaysia dalam meningkatkan penyertaan pencipta kandungan dalam penstriman langsung dan penghasilan kandungan media sosial."Kami menyasarkan untuk melengkapkan pencipta kandungan Malaysia dengan alatan, pengetahuan dan peluang penjanaan pendapatan yang diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam bidang pencipta kandungan komersial," katanya.Program Affiliate Taobao menawarkan peluang kepada pencipta kandungan dan pembeli harian menjana pendapatan sampingan melalui perkongsian produk, termasuk komisen sehingga 30 peratus bagi produk tertentu, bonus rujukan sehingga RM26 bagi setiap pengguna baharu serta insentif khas semasa kempen jualan besar-besaran seperti 11.11, 12.12 dan jualan pertengahan tahun.Pencipta kandungan yang berminat boleh menghantar e-mel ke partnership@foodie.my untuk disenaraikan bersama Foodie Media. Peserta turut menerima panduan kandungan, sokongan penstriman langsung serta akses kepada kemudahan studio.Pencipta yang menunjukkan prestasi cemerlang berpeluang dipilih menyertai program pertukaran khas di ibu pejabat Kumpulan Alibaba di Hangzhou, China.Maklumat lanjut mengenai Program Affiliate Taobao boleh diperoleh menerusi halaman rasmi platform berkenaan.