KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Wanita warga emas bersama anak lelakinya maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di kawasan Sentul di sini pada Jumaat.Komander Operasi Kanan Pegawai Kanan Bomba Kanan II Fathi Kameel Mohd Azri berkata, kedua-dua beranak itu ditemukan di dalam tandas rumah terbabit."Mangsa melibatkan seorang lelaki dewasa berusia 58 tahun dan seorang wanita warga emas berusia 82 tahun."Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Fathi Kameel berkata, pihaknya menerusi Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS NG 999 berhubung kejadian itu pada jam 7.18 pagi."Susulan laporan diterima, Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan telah digerakkan ke lokasi kejadian."Setibanya pasukan bomba di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan kira-kira 20 x 20 kaki persegi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan enam aliran hos daripada pam jentera bagi memadam kebakaran serta mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitar."Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.51 pagi dengan anggaran kemusnahan sekitar 40 peratus."Kerja-kerja pemadaman seterusnya berjaya diselesaikan sepenuhnya dan operasi overhaul turut dilaksanakan," katanya.Jelasnya, kebakaran padam sepenuhnya pada jam 8.27 pagi manakala punca kejadian masih dalam siasatan Unit Siasatan Kebakaran.