Disabit bersalah terima rasuah, penolong jurutera MBK didenda RM16,000

KUANTAN - Seorang penolong jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) didenda RM16,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas disabitkan bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM2,000 daripada seorang individu kira-kira empat tahun lalu.Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Yusrizal Md Ledza, 43, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.Dalam keputusan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.Terdahulu, peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya itu dikenakan hukuman denda paling minimum dengan alasan jumlah suapan yang kecil.Menurutnya, mahkamah juga wajar mempertimbangkan faktor kesalahan pertama selain kerjasama diberikan tertuduh kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah sepanjang kes itu berjalan."Tertuduh bergantung kepada pendapatan bulanan RM4,200 untuk menyara keluarga termasuk isteri dan tiga anak masih kecil berusia tiga hingga 12 tahun."Tertuduh juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu," ujarnya.Bagaimanapun, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir membantah rayuan itu sebaliknya memohon mahkamah mempertimbangan hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain mengambil kira kepentingan awam.Mohd Yusrizal didakwa di mahkamah itu pada 19 Januari 2023 atas tuduhan menerima suapan RM1,000 daripada wanita berusia 33 tahun yang mempunyai hubungan dengan tugasan rasminya.Tertuduh didakwa menerima suapan itu melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun miliknya di sebuah cawangan bank di Temerloh.Bagi pertuduhan kedua, Mohd Yusrizal didakwa menerima suapan RM1,000 daripada wanita itu di lokasi sama pada tarikh berbeza.Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.