Pas kemuka dua calon Menteri Besar Perlis

MARANG - Pas mengemukakan dua calon Menteri Besar Perlis bagi menggantikan Mohd Shukri Ramli yang mengumumkan peletakan jawatan itu secara sukarela disebabkan faktor kesihatan yang dialami.Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu masih menguasai kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Perlis walaupun tiga wakil rakyatnya digugurkan daripada keahlian."Kita masih mempunyai enam kerusi dan Bersatu hanya ada lima kerusi, kita layak mengemukakan calon Menteri Besar," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, hari ini.Sebelum ini, pergolakan di Perlis berlaku apabila terdapat lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu mengisytiharkan tidak menyokong kepimpinan Mohd Shukri.Lapan ADUN tersebut terdiri daripada tiga ADUN Pas dan selebihnya daripada Bersatu.Mereka didakwa telah menandatangani akuan bersumpah (SD) dan menyerahkannya kepada pihak Istana Perlis sebelum ini.Ditanya mengenai kepercayaan terhadap Bersatu, Abdul Hadi menjelaskan, hukuman tidak boleh dilakukan secara keseluruhan."Bagaimanapun diharapkan Bersatu akan mengambil tindakan terhadap lima ADUN mereka itu."Dalam masa sama, kita sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Perlis," katanya.