SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir individu yang membuang sampah merata-rata, khususnya di kawasan pusat bandar dan lokasi tumpuan awam.Kor Ming berkata, Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, namun sikap tidak bertanggungjawab itu mencemarkan imej bandar raya serta nama negara di mata masyarakat dan pelancong.Menurutnya, bandar yang bersih mencerminkan masyarakat berbudaya tinggi."Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar menghormati ruang awam yang kita kongsi bersama."Raikan apa jua perayaan atau aktiviti dengan penuh kesedaran sivik, gunakan tong sampah yang disediakan dan patuhi undang-undang demi kebersihan bandar," ujarnya dalam satu kenyataan.Beliau menegaskan kebersihan bandar bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat."Kerajaan melalui SWCorp serta PBT sentiasa komited melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan bandar berada dalam keadaan bersih, teratur dan selesa."Namun, usaha ini tidak akan berkesan tanpa kesedaran dan kerjasama orang ramai," ujarnya.Jelasnya, mulai 1 Januari 2026, tindakan lebih tegas akan diambil oleh SWCorp dan PBT.Beliau memberitahu, mana-mana individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, selain hukuman tambahan Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan."Pendekatan ini bertujuan mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran."Jadi, marilah kita bersama-sama menyokong usaha SWCorp dan PBT dalam menjadikan bandar kita lebih bersih, lestari dan berdaya huni untuk generasi akan datang," katanya.