Suspek ada pengetahuan, kemahiran dalam pembuatan bahan letupan - Polis

SEREMBAN – Suspek yang terbabit dalam kejadian letupan di kawasan Desa Palma, Nilai, dekat sini pada 22 Disember lalu dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal serta kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perkara itu berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki dikenali sebagai Yeoh Hock Sun, 62, termasuk alat pencetus letupan, bahan pencuci mudah bakar dan karbon selain unsur belerang."Siasatan mendapati suspek yang turut dikenali sebagai ‘Ayang’ mempunyai pengetahuan dalam bidang kimia dan pernah bekerja di sebuah kilang farmaseutikal selama tiga tahun sebelum ini, selain berpengetahuan dalam bidang teknologi maklumat (IT)."Penilaian terhadap bahan letupan itu mendapati bahan terbabit berada dalam keadaan sempurna dari segi penyediaan bahan dan peranti yang digunakan termasuk pemasa dan sensor, selain kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak enam bulan lalu," katanya pada sidang akhbar berkaitan kes itu di sini hari ini.Beliau berkata, lelaki berkenaan turut diklasifikasikan sebagai individu berbahaya dan amat dikehendaki kerana dipercayai terlibat secara langsung dalam penyediaan bahan letupan terbabit, selain mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.Katanya, pemeriksaan di rumah lelaki itu yang disyaki dijadikan sebagai makmal turut menemukan 31 lagi peranti bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED), dan kesemuanya telah dimusnahkan oleh polis.Dalam pada itu, Alzafny berkata, hasil pemusnahan yang dilaksanakan Unit Pemusnah Bom mendapati bahan letupan berkenaan mempunyai radius letupan sehingga 20 meter, manakala serpihan boleh menjangkau sejauh 30 meter."Bahan yang digunakan ialah paku dan pisau lipat yang diserpihkan secara halus. Jadi, berdasarkan penyediaan tersebut, kita mentafsirkan bahawa dia mempunyai pengetahuan menyediakan bahan letupan yang sempurna," katanya.Alzafny berkata, lelaki itu dikategorikan sebagai sangat berbahaya kerana bijak menyembunyikan identiti dengan memakai pelitup muka atau bertopi, selain mengenakan rambut palsu apabila berada di luar atau dalam kalangan masyarakat."Soal siasat terhadap saksi turut mendapati dia menghindarkan diri daripada orang ramai selain bersifat agresif, telah berpisah dengan isteri, anak dan keluarga lebih 30 tahun lalu serta mempunyai sejarah pernah memukul kekasihnya," katanya sambil menambah suspek dipercayai masih berada di negeri ini.Dalam perkembangan sama, Alzafny berkata, setakat ini, seramai 14 saksi telah dirakam percakapan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar turut diperoleh untuk dianalisis.Justeru, beliau meminta orang ramai membantu mengesan warga emas berkenaan serta meminta mana-mana pusat perubatan, klinik atau farmasi yang mengesyaki suspek yang dipercayai cedera menerima rawatan atau membeli ubat, supaya menyalurkan maklumat itu kepada polis."Ini kerana polis percaya dalam kejadian tersebut, lelaki ini mengalami kecederaan serius… dia kini sedang bersembunyi dan mungkin disembunyikan," katanya sambil menambah suspek bergerak secara bersendirian dan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas atau kegiatan gangsterisme.Pada Isnin lalu, Alzafny dilaporkan berkata pihaknya menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma selepas menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada jam 7.08 pagi. - Bernama