GOMBAK – Seorang lelaki warga India memberi alasan terpaksa menggantikan rakan sekerjanya yang bercuti sempena perayaan Hari Natal apabila ditahan memandu sebuah lori dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan (Ops Pewa) di Jalan 2, Batu Caves, pada Khamis.Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, Azrin Borhan berkata, pemeriksaan ke atas lori berkenaan kira-kira jam 8.15 malam mendapati pemandu berusia 32 tahun itu melakukan pelbagai kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987."Individu terbabit mengaku bekerja sebagai kelindan lori dan memaklumkan bahawa dia menggantikan pemandu asal yang bercuti sempena Hari Natal."Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati dia tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Kenderaan Perdagangan (GDL), selain lori yang dipandu tidak mempunyai perlindungan insurans serta gagal menjalani pemeriksaan Puspakom," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Menurutnya, semakan lanjut turut mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) lori berkenaan telah tamat tempoh sejak 11 Januari lalu."Selain itu, beberapa kesalahan teknikal lain turut dikesan ketika pemeriksaan dijalankan."Sebanyak 14 saman telah dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan, manakala lori tersebut disita dan ditempatkan di Stesen Penguatkuasaan Kenderaan (SPK) Kalumpang untuk tindakan lanjut," katanya.Beliau menegaskan bahawa JPJ Selangor memandang serius penggunaan pemandu warga asing tanpa kelayakan yang sah, khususnya bagi kenderaan perdagangan."Tindakan tegas akan diambil kerana perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain."JPJ Selangor akan terus memperhebat penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan menerusi Ops Khas Kenderaan Perdagangan bagi membanteras pelanggaran undang-undang, terutama melibatkan pemandu asing dan kenderaan berat," katanya.