KUALA LUMPUR - Seorang operator kilang dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengugut untuk menyimbah asid dan membunuh ibu kandungnya.Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Razak Manaf, 34, dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 22 Disember lalu.Abdul Razak didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa berumur 72 tahun dengan berkata, "Aku simbah asid dan bunuh kau", dengan niat mendatangkan ketakutan akan kematian atau kecederaan parah kepada mangsa.Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Cheras pada jam 4 petang, 22 Disember lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian berlaku perselisihan faham antara tertuduh dan ibunya apabila mangsa meminta semula telefon bimbitnya yang diambil tertuduh, sebelum tertuduh yang tidak berpuas hati bertindak mengugut mangsa dengan menyatakan hasrat untuk menyimbah asid serta membunuhnya.Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan ugutan itu melibatkan niat untuk membunuh dan menyimbah asid terhadap ibu kandungnya sendiri.Abdul Razak pula merayu hukuman ringan kerana dia merupakan bapa tunggal dan perlu menyara lima anak berumur antara tiga hingga 11 tahun, selain kes itu adalah kesalahan pertamanya serta telah memohon maaf kepada mangsa. - Bernama