Gabungan parti politik Melayu bukan jaminan kestabilan

JOHOR BAHRU – Gabungan semua parti politik Melayu dalam sesebuah kerajaan bukanlah jaminan kepada kestabilan politik.Menurut Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Fakharuddin Moslim, perkara tersebut dapat dilihat melalui kemelut yang berlaku di Perlis ketika ini."Perlis ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada parti politik Melayu dan Islam iaitu Pas serta Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)."Negeri yang ditadbir PN ini tiada orang Cina, tiada DAP dan tiada Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun PN tetap bergasak sesama sendiri."Jadi, gabungan PN ini bukanlah gabungan yang stabil seperti dilaungkan mereka dan ini juga membuktikan gabungan sesama Melayu tidak menjanjikan kestabilan serta keharmonian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Fakharuddin berkata demikian bagi mengulas kemelut politik di Perlis susulan peletakan jawatan Menteri Besar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, pada Khamis.Tambah Fakharuddin, yang juga Ketua PKR Cabang Tenggara, pihaknya hairan bagaimana gabungan parti dalam PN boleh berkelahi sehingga meruntuhkan kerajaan sendiri, sedangkan hanya terdapat 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)."Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan, PN memenangi 14 kerusi dan hanya satu kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH)."Jadi, 14 kerusi ini sepatutnya cukup kuat untuk membentuk kerajaan PN Perlis yang kukuh dan stabil. Tambahan pula, kesemua 14 ADUN PN Perlis adalah Melayu dan Islam," ujarnya.Sementara itu, Fakharuddin berkata, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, dilaporkan membuat kenyataan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi tiga kawasan DUN di negeri itu.Menurutnya, permohonan itu dibuat susulan kekosongan luar jangka akibat kemelut politik dalaman PN sehingga menjejaskan majoriti kerajaan negeri."Kekosongan itu membabitkan DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas keahlian tiga ADUN, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta apabila keahlian mereka dalam Pas terbatal sejak Rabu," katanya.