PUTRAJAYA – Keputusan penghakiman kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukanlah satu detik untuk diraikan atau dibanggakan, sebaliknya mencerminkan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab institusi penguat kuasa kepada negara.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pencapaian itu adalah hasil komitmen berterusan pasukan penyiasat dan pendakwaan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak siasatan bermula pada Julai 2015."Siasatan terhadap kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad itu menuntut ketekunan luar biasa, khususnya dalam mendapatkan keterangan serta bukti bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa."Penghargaan wajar diberikan kepada pegawai penyiasat dan pasukan pendakwaan yang kekal beriltizam walaupun berdepan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa sepanjang tempoh siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Azam berkata, pasukan penyiasat berdepan proses yang kompleks dan mencabar, namun tetap mematuhi piawaian perundangan yang ketat bagi memastikan kes dapat dibawa dan dibicarakan di mahkamah.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi tempatan yang memberikan kerjasama sepanjang siasatan, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).Selain itu katanya, bantuan rakan penguat kuasa luar negara turut memainkan peranan penting dalam usaha mendapatkan bukti rentas sempadan menerusi mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance)."Antara agensi yang memberikan sumbangan amat bernilai ialah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura serta pihak berkuasa dari Belanda dan Barbados," jelasnya.Tambah Azam, profesionalisme dan komitmen berterusan semua pihak terbabit dalam kerjasama rentas sempadan itu amat dihargai."Bagi SPRM, keputusan ini bukan untuk diraikan, sebaliknya mencerminkan pelaksanaan amanah selaras dengan mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada kami," katanya.Menurut beliau, SPRM akan terus berperanan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, berpandukan sepenuhnya kepada fakta, bukti dan kepentingan awam.