SHAH ALAM - Tindakan yang dikenakan terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa terbabit dalam usaha menjatuhkan Menteri Besar Perlis merupakan satu peringatan tegas kepada wakil rakyat parti itu agar sentiasa kembali kepada kepimpinan parti.Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, langkah itu merupakan bukti ketegasan dan disiplin tinggi Pas terhadap kepimpinannya dalam usaha parti itu mengukuhkan kedudukan sebagai parti teras utama negara."Dalam Pas semua memahami bahawa ADUN, Ahli Parlimen serta kepimpinan di setiap peringkat (pusat hingga cawangan) malah ahli biasa tidak dibentuk mengikut sentimen atau emosi tetapi proses tarbiyah berteras al-Quran dan sunnah yang panjang."Krisis Perlis ini diharap memperkukuhkan lagi kepercayaan ahli, penyokong Pas dan mereka yang berada di atas pagar kerana dapat melihat sebuah parti yang tegas dan berdisiplin itu ada pada Pas."Namun begitu krisis ini juga tidak boleh lari dari serangan parti lawan dan mereka yang membenci Pas," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.Pas sebelum ini mengumumkan keahlian tiga ADUN mereka terhenti serta-merta selepas dikaitkan dengan tindakan mengemukakan Akuan Bersumpah (SD) bersama lima ADUN Bersatu bagi menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri.Beliau yang juga ADUN Jitra menyifatkan tindakan Mohd Shukri Ramli melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis sebagai kejayaan tarbiyah parti bahawa sesuatu jawatan yang dipegang itu merupakan amanah yang berat dipukul dan bukanlah kelebihan."Ketenangan Mohd Shukri atau Cikgu Shukri melepaskan jawatan nombor Perlis tanpa sebarang kata-kata yang sarat dengan api kemarahan, kebencian dan kekecewaan amat jelas menunjukkan jiwa besar serta sifat tawaduk beliau yang lahir dari 'sekolah politik' juga tarbiyah Pas."Kepada rakyat Malaysia, Pas tidak mengajar ahlinya mengejar jawatan dan Pas tidak mengajar pemimpinnya mencintai jawatan," jelasnya.Pada masa sama, Haim Hilman turut menegaskan bahawa partinya itu menolak sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga atau parti berikutan perkara itu mampu menghancurkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan institusi politik.Kata beliau, Pas juga menyedari golongan muda turut mencari kepimpinan bersih, ikhlas dan berwawasan."Atas kefahaman itu, Pas hari ini menonjolkan lebih ramai agamawan dan profesional berpendidikan dalam dan luar negara merentasi bidang strategik dan kritikal."Perjuangan parti bukan sekadar mentadbir negara, tetapi menjadikan Malaysia sebagai tunggak kestabilan dan pertumbuhan ekonomi di peringkat serantau serta antarabangsa," katanya.