KULAI - Seorang wanita maut selepas motosikal yang dinaiki bersama suaminya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 28, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, pagi Jumaat.Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun yang merupakan pembonceng motosikal jenis Honda RS-X disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan tersebut membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta Toyota Camry."Siasatan awal nahas dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki pasangan suami isteri berkenaan yang dalam perjalanan menghantar barangan platform e-dagang, hilang kawalan sebelum melanggar sebuah motosikal Yamaha Y15ZR serta sebuah kereta dari arah bertentangan."Akibat perlanggaran itu, pembonceng motosikal Honda RS-X meninggal dunia di tempat kejadian."Manakala suaminya yang berusia 23 tahun serta penunggang motosikal Yamaha Y15ZR berusia 41 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan.Seng Lee memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-306 3710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai," ujarnya.Terdahulu, tular video kamera papan pemuka (dashcam) nahas berkenaan.