Pemuda UMNO perlu belajar sejarah kegagalan Muafakat Nasional - Amanah Johor

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO perlu mengambil iktibar daripada sejarah kegagalan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini dan tidak mengulangi kesilapan lama yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara.Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh, berhubung cadangan menghidupkan semula MN jelas memperlihatkan seolah-olah UMNO masih gagal mempelajari pengalaman lalu.Beliau mendakwa MN yang ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akhirnya runtuh akibat pengkhianatan Pas sendiri yang memilih untuk berpaling arah demi kepentingan politik sempit."Sejarah ini adalah fakta politik yang tidak boleh dipadam atau diputarbelitkan."Menghidupkan semula gabungan yang telah gagal hanya berisiko mengulangi episod pengkhianatan yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh, mencadangkan Perikatan Nasional (PN) dibubarkan manakala Muafakat Nasional (MN) diwujudkan semula berikutan perkembangan politik di Perlis ketika ini.Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, situasi di Perlis ketika ini menggambarkan berlakunya dakwaan tikam belakang.Dzulkefly menegaskan kepimpinan Pemuda UMNO seharusnya berfikir secara lebih matang dan berpandangan jauh dengan mengutamakan agenda pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat, bukannya terjebak dalam gimik politik pembangkang yang boleh menyemai kebencian dan perpecahan.Dalam pada itu, Amanah Johor turut menegur kepimpinan UMNO agar tidak melayan agenda peribadi mana-mana pihak yang cuba mengheret Kerajaan Perpaduan kembali ke dalam percaturan lama yang terbukti gagal.Menurut Dzulkefly, usaha membentuk semula MN bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang keuntungan politik kepada UMNO, malah berisiko menggugat kestabilan politik negara."Politik Malaysia memerlukan kematangan, kejujuran dan keikhlasan. Mengulangi kesilapan lama dengan rakan politik yang pernah mengkhianati amanah rakyat bukanlah jalan ke hadapan," ujarnya.Beliau menegaskan Amanah Johor kekal dengan pendirian bahawa masa depan negara tidak boleh digadai demi percaturan politik sempit serta nostalgia terhadap gabungan yang telah terbukti gagal.