Bas ekspres bawa lima penumpang hilang kawalan langgar tembok batu pembahagi jalan

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu dan tiga penumpang cedera selepas bas ekspres dinaiki kemalangan di Kilometer 11.5 Lebuhraya Utara Selatan di sini pada malam Khamis.Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, maklumat mengenai insiden itu diterima pada jam 9.50 malam."Siasatan awal mendapati bas jenis Scania ini dipandu seorang lelaki warga tempatan bersama pemandu kedua masing-masing berumur 39 tahun serta lima penumpang."Mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Setibanya di lokasi bas berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok batu pembahagi jalan," katanya dalam kenyataan.Azrol Anuar berkata, bas mengalami kerosakan teruk khususnya hampir keseluruhan bahagian hadapannya akibat pelanggaran tersebut.Menurutnya, pemandu kedua mengalami kecederaan terseliuh di bahagian leher, manakala tiga penumpang cedera ringan."Semua mangsa yang cedera mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini."Sementara pemandu utama dan dua lagi penumpang disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Syed Syazani Imran bin Syed Muzafar 010-450 5209 bagi membantu siasatan.