Hamzah gesa semua pihak bertenang, tangani kemelut politik Perlis secara matang

SHAH ALAM – Semua pihak diminta bertenang dan menangani perkembangan politik di Perlis dengan kematangan demi memastikan kestabilan negeri itu terus terpelihara.Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebarang keputusan dan pendirian politik perlu berpaksikan kepentingan rakyat, negeri serta kestabilan jangka panjang."Rakyat menaruh keyakinan penuh bahawa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis akan menggunakan kebijaksanaan dan kuasa prerogatif Baginda selaras Perlembagaan Negeri bagi menentukan pelantikan Menteri Besar baharu."Keutamaan adalah bagi memastikan kerajaan Perlis terus berfungsi dengan baik dan dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada kebajikan serta keperluan rakyat, selaras mandat dan harapan yang diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.Sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilapor mengemukakan dua nama calon Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli.Beliau menegaskan, pencalonan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan parti berkenaan yang masih memiliki majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding rakan komponennya dalam PN.Menurut Abdul Hadi, dua nama berkenaan dikemukakan bagi pertimbangan Raja Perlis sebagai calon paling sesuai untuk menerajui pentadbiran negeri dalam keadaan politik semasa yang tidak menentu.Terdahulu Bersatu turut dilapor telah menyerahkan tiga nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai calon Menteri Besar iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).