Najib mohon pemenjaraan serentak dengan kes SRC

PUTRAJAYA – Pihak pembelaan mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat bahawa, tiada bukti bekas Perdana Menteri itu mengalihkan dana untuk kemewahan peribadi atau menyimpan kekayaan secara rahsia.Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 72, berkata demikian ketika sesi rayuan untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda selepas didapati bersalah atas 25 kes menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).Beliau berkata, sebahagian besar dana berkaitan telah digunakan untuk aktiviti politik, sosial dan kebajikan di bawah rangka kerja Barisan Nasional (BN).Menurutnya, bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga telah memulangkan AS$620 juta daripada keseluruhan derma berjumlah AS$681 juta secara sukarela.Katanya, ini menunjukkan bekas ahli politik itu tidak mempunyai motif dalam mencapai keuntungan peribadi."Faktor pengurangan paling ketara ialah tiada bukti Najib menerima, meminta atau menjangkakan sebarang faedah peribadi."Kelulusan dibuat demi kepentingan yang dirasakan oleh Kerajaan dan Kementerian Kewangan, dan sebarang dana yang kemudiannya disalahgunakan telah dialihkan tanpa pengetahuan atau penyertaan tertuduh," katanya.Selain itu beliau berkata, usia lanjut serta keadaan kesihatan anak jati Pahang itu perlu diambil kira sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.Katanya, bekas ahli politik menghadapi pelbagai masalah kesihatan serius sepanjang prosiding, termasuk episod hipertensi teruk yang memerlukannya dimasukkan ke hospital, keradangan lutut akut serta pembedahan mata.Bukan itu sahaja, beliau berkata, anak guam telah memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia sejak tahun 2015.Peguam itu berkata, pada 24 Oktober 2024, Najib telah menulis surat permohonan maaf dan perasaan sedihnya ketika berada di Penjara Kajang yang mana ia telah dibacakan oleh anak lelakinya, Datuk Mohd Nizar."Najib sedih apabila mengetahui, kejatuhan 1MDB berlaku di bawah pengawasannya ketika dia memegang jawatan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri."Permohonan maaf tersebut dibuat secara sukarela tanpa syarat serta mencerminkan penyesalan," katanya.Susulan itu beliau memohon supaya anak guam hanya dikenakan hukuman pemenjaraan dengan denda pada kadar minimum.Peguam itu berharap, hukuman pemenjaraan berjalan serentak dengan hukuman SRC International Sdn Bhd dan bukannya berasingan."Najib hadir di mahkamah ini sebagai seorang lelaki berusia 72 tahun, telah hampir lima dekad berkhidmat kepada negara, tidak pernah melarikan diri dan sentiasa mematuhi proses undang-undang."Hukuman yang telah dilaluinya amat berat, yang tinggal kini hanyalah keadilan yang wajar dipertimbangkan oleh mahkamah," katanya.Selain Muhammad Shafee, Najib diwakili peguam-peguam, Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman dan Effa Azuin.Prosiding diteruskan dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berhujah untuk pemberatan hukuman.Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini, memutuskan Najib bersalah atas empat kes mengunakan kedudukan untuk rasuah dan 21 kes pengubahan wang haram (AMLA) dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion, antara 2011 dan 2014 lalu.