SHAH ALAM - Semua pihak mempunyai hak untuk membela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes rasuah dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selagi ia berlandaskan undang-undang.Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, tidak ada sesiapa yang boleh cuba memaksa pihak lain mengikuti pandangan mereka kerana hak untuk bersetuju dengan perkembangan kes berkenaan juga wajar dihormati."Kes 1MDB ini tidak boleh dipadamkan sampai bila-bila dan apa pun pengakhirannya, tidak akan mendamaikan pihak-pihak yang bertembung."Kes 1MDB memang satu kes yang divisive, kes yang memecah belahkan rakyat Malaysia, kes yang mengejutkan dan penuh emosi."Terpulanglah kepada setiap dari kita untuk mencari ketenangan agar generasi akan datang boleh mendapat iktibar dari episod 1MDB yang panjang ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib bersalah atas empat kes menggunakan kedudukan untuk rasuah dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion, antara 2011 dan 2014 lalu.Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di Putrajaya memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.Dalam pada itu Rafizi menegaskan, rakyat perlu menghormati proses mahkamah dan menunggu hujah penuh penghakiman sebelum membuat sebarang tuduhan.Malah beliau menjelaskan, kes 1MDB telah melalui proses panjang sejak 2010, termasuk pembentangan bukti di mahkamah dan setiap rakyat berhak menilai perkembangan kes dengan kewarasan dan akal."Elakkan apa-apa tuduhan yang tidak berasaskan atau merujuk kepada hujah penghakiman itu kerana ia boleh melanggar undang-undang dan menghina mahkamah."Tanggungjawab sebagai seorang insan, dalam menilai kes ini, wajarlah kita menghadam keseluruhan maklumat."Gunakan akal, kewarasan dan hati nurani kita. Setelah melalui proses ini, sebagai seorang manusia yang telah menggunakan hak kita secara bertanggungjawab, maka damailah kita dengan apa-apa kesimpulan yang dibuat secara peribadi," ujarnya.