MACHANG – Seorang pelajar Tingkatan Satu dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika bermain air bersama abang dan rakannya di kawasan pintu air Sungai Ulu Sat, di sini, pada Jumaat.Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, abangnya yang berusia 15 tahun berjaya berpaut pada batu sebelum diselamatkan oleh penduduk kampung.Saksi kejadian, Muhamad Azam Faiz Anuar, 19, berkata semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, kereta yang dipandunya telah ditahan oleh seorang remaja yang memaklumkan dua rakannya telah dihanyutkan arus deras."Saya yang ketika itu dari arah Pasir Puteh terus menghentikan kereta dan mendapati salah seorang mangsa sedang berpaut pada batu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.Menurutnya, panggilan kepada pihak bomba terus dilakukan untuk mendapatkan bantuan lanjut.Ujarnya, selepas itu beliau menghubungi rakan untuk mendapatkan tali bagi menyelamatkan abang mangsa yang sedang berpaut pada batu.Muhamad Azam Faiz memberitahu, abang mangsa kemudian berjaya dibawa naik ke darat menggunakan tali.Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohamad Alam Shah Yazid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.33 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian."Sebaik tiba di lokasi, pasukan kami mendapati seorang budak lelaki hilang, manakala abangnya berjaya diselamatkan."Operasi mencari dan menyelamat terpaksa ditangguhkan pada jam 7.47 malam dan akan disambung esok (Sabtu)," katanya.