Insiden Kampung Sungai Baru: 8 individu dituduh dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR - Lapan individu yang ditahan berhubung kekecohan di Kampung Sungai Baru, di sini sehingga mendatangkan kecederaan kepada bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi pada September lepas akan dituduh dalam masa terdekat.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan dan pihaknya telah menerima arahan pertuduhan daripada pihak timbalan pendakwa raya."Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan dan seorang daripada mereka turut akan didakwa di bawah Seksyen 332 kanun sama atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas sehingga menyebabkan kecederaan," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Minum Petang dan Apresiasi Media Bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.Fadil berkata kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas merupakan satu kesalahan serius dan pertuduhan yang dikemukakan itu dilihat sebagai langkah positif dalam menegakkan undang-undang.Pada 11 September lepas, media melaporkan beberapa individu ditahan berhubung kecederaan yang dialami bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika berlaku rempuhan oleh sekumpulan individu di Kampung Sungai Baru.Beliau dilaporkan mengalami kecederaan di kepala akibat terkena objek yang dibaling oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di kawasan berkenaan.Operasi itu dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu. - Bernama