1MDB: Najib dihukum penjara 15 tahun, denda RM11.38 bilion

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dihukum penjara selama 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, atas empat kes rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion antara tahun 2011 hingga 2014.Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), yang bersidang di Istana Kehakiman di sini, memerintahkan Najib, 72, membayar denda sebanyak RM11.4 bilion.Semasa menjatuhkan hukuman dalam prosiding yang bermula pada jam 9 malam, hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun bagi setiap kes rasuah, manakala penjara selama lima tahun bagi setiap pertuduhan di bawah AMLA.Bagaimanapun, beliau memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak, selepas Najib selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd pada 22 Ogos 2028.Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama antara tahun 2011 hingga 2014.Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram, kesalahan dilakukan antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi yang sama.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.AKAN MENYUSUL