'Hak akan saya tuntut dengan maruah walau jalannya sunyi serta pengorbanan' - Najib

PUTRAJAYA - "Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah, dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar."Demikian kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sepucuk surat yang diutuskan kepada peguamnya, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion ke atas beliau atas kesalahan berkaitan dana 1MDB.Warkah berkenaan dibacakan oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam satu sidang akhbar selepas prosiding mahkamah di Istana Kehakiman, di sini pada Jumaat.Menurut Muhammad Shafee, sebelum sidang akhbar bermula, beliau telah menerima sekeping surat tulisan tangan daripada Najib dan merasakan wajar untuk membacakan kandungan tersebut kepada media dan rakyat Malaysia secara keseluruhan."Ini adalah kenyataan Datuk Seri Najib yang beliau minta saya sampaikan. Ia ditulis dalam Bahasa Melayu dan saya akan membacanya secara penuh," katanya.Dalam surat tersebut, Najib menyatakan bahawa ia ditulis dalam keadaan fikiran yang tenang meskipun hatinya berat. Beliau turut mengakui bahawa ada kalanya perjuangan yang ditempuh terasa seperti perlu dipikul bersendirian.Namun begitu, Najib menegaskan bahawa tekadnya untuk meneruskan perjuangan tidak pernah berlandaskan dendam, sebaliknya berpaksikan prinsip dan keyakinan terhadap keadilan."Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan.Niat saya tidak pernah berubah, iaitu untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat," menurut kandungan surat itu.Beliau turut menegaskan bahawa segala usaha yang dilakukan bukanlah bertujuan mengelak daripada tanggungjawab, tetapi sebagai ikhtiar untuk menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.Najib turut menyatakan keyakinannya terhadap proses kehakiman negara, tanpa mengira keputusan yang bakal dibuat.Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya kekal tenang, rasional dan berhemah serta tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam dan mencemarkan proses perundangan."Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang," ujarnya.Najib turut mengajak rakyat untuk menilai isu ini bukan semata-mata daripada sudut nasib dirinya sebagai individu, sebaliknya demi masa depan institusi negara dan prinsip keadilan yang dijunjung bersama.