Kes 1MDB: Najib bebas tahun 2043 jika semua rayuan gagal

SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan hanya akan dibebaskan daripada penjara pada tahun 2043 sekiranya gagal dalam semua peringkat rayuan termasuk di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.Berdasarkan pengiraan semasa, bekas Perdana Menteri yang dilahirkan pada 23 Julai 1953 akan berusia kira-kira 90 tahun pada tahun berkenaan sekiranya perlu menjalani keseluruhan tempoh pemenjaraan yang dikenakan terhadapnya.Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, namun pelaksanaannya hanya bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd.Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang kemudiannya dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta oleh Lembaga Pengampunan.Bagi kes tersebut, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.Sekiranya sabitan dalam kes 1MDB dikekalkan di semua peringkat dan tiada pengurangan hukuman diberikan, tempoh pemenjaraan yang perlu dilalui bekas Presiden UMNO itu boleh mencecah lebih dua dekad, sekali gus membawa kepada jangkaan pembebasan sekitar tahun 2043.Dalam kes 1MDB, Najib didapati bersalah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion, serta melakukan pengubahan wang haram antara tahun 2011 hingga 2014 melalui akaun di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon.Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).