KOTA BHARU – Polis menahan lima lelaki dan tujuh wanita dipercayai terlibat dalam kes merusuh di Pasar Awam Melor di sini, pada Khamis.Kesemua mereka berusia antara 20-an hingga lewat 50-an telah ditahan bagi membantu siasatan.Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wanita berusia 19 tahun yang mendakwa dirinya telah dikasari oleh seorang wanita lain berusia lingkungan 20-an.Menurutnya, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 2.30 petang dan turut melibatkan ahli keluarga pengadu serta suspek."Punca kejadian masih dalam siasatan dan pergaduhan berkenaan telah dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Mohd Rosdi memberitahu, akibat kejadian itu, pengadu mengalami kecederaan di seluruh badan.Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi tujuan permohonan reman untuk siasatan lanjut.Terdahulu tular video berdurasi lima minit 21 saat pada Jumaat di laman sosial Facebook yang memaparkan pergaduhan melibatkan empat wanita di Pasar Awam Melor di sini.