Wanita cedera dihempap pokok tumbang di Kampung Pantai Sepat

KUANTAN – Seorang wanita cedera selepas pokok tumbang menghempap kenderaan yang dinaikinya dalam kejadian di Kampung Pantai Sepat, Jalan Penor, di sini, malam ini.Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.29 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan digerakkan ke lokasi kejadian."Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 9.41 malam, kami mendapati sebahagian dahan pokok telah menghempap sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata, kejadian itu melibatkan dua mangsa, iaitu seorang wanita berusia 27 tahun yang cedera di bahagian kepala, manakala seorang lelaki berusia 28 tahun dilaporkan selamat. Kedua-duanya telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba."Wanita yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut," katanya.