Dakwa dikejar hantu, anak cederakan ibu bapa guna pedang samurai

IPOH – Seorang lelaki ditahan selepas mencederakan kedua-dua ibu bapanya menggunakan pedang samurai dalam kejadian di sebuah rumah di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra, di sini pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima melalui talian 999 kira-kira jam 6.41 pagi sebelum sepasukan anggota polis diarahkan ke lokasi kejadian.Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun menyerang kedua-dua mangsa yang merupakan ibu bapanya, masing-masing berusia 57 tahun."Selepas kejadian, suspek melarikan diri dengan memanjat tembok dan bumbung rumah sebelum memasuki rumah jiran berhampiran."Bagaimanapun, suspek berjaya dikesan dan ditahan oleh anggota polis dari Balai Polis Tanjung Rambutan di rumah jiran berkenaan tanpa sebarang kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi pemberita.Abang Zainal Abidin berkata, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri sebelum ini."Dalam keterangannya, suspek mendakwa tidak sedar bertindak sedemikian dan merasakan dirinya dikejar hantu ketika kejadian berlaku," katanya.Tambah beliau, siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian."Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya," katanya.Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta sentiasa bekerjasama dengan menyalurkan maklumat yang sahih."Polis akan terus memantau perkembangan kes ini dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.