MACHANG, 26 Dis – Niat murni seorang adik untuk menyelamatkan abangnya daripada lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Rawa di Kampung Belukar, di sini berakhir dengan tragedi apabila pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan mati pada Jumaat malam.Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa, Mohamad Syafi Irsyad Mohd Shaharudin, 13, dari Kampung Banggol Judah, dipercayai bertindak terjun ke dalam sungai tersebut sebaik melihat abangnya yang berusia 15 tahun terjatuh ketika duduk di tebing berhampiran kawasan berkenaan.Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin, berkata hasil siasatan awal mendapati abang mangsa terjatuh secara tidak sengaja sebelum mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 2, segera terjun ke dalam sungai bagi cuba menyelamatkan ahli keluarganya itu."Abang mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tembok penghadang air (guard)."Namun, mangsa gagal menyelamatkan diri dan dipercayai dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi.Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam sebelum mengaktifkan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).Ujarnya, operasi SAR melibatkan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Machang."Mangsa ditemukan pada jam 9.40 malam dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika bermain air bersama abang dan rakannya di kawasan pintu air Sungai Ulu Sat, Kampung Belukar. Mangsa akhirnya ditemukan lemas selepas lima jam pencarian dilakukan pada Jumaat malam.Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Alfarra Mohamad Zin, mayat remaja itu ditemukan oleh orang awam pada jam 9.40 malam.