Juruteknik PAIP maut, kereta dilanggar MPV gagal memotong

PEKAN - Seorang juruteknik syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Maran maut selepas kereta dinaiki dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 10 Jalan Chini-Salong di sini pada Jumaat.Dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Norzaidi Zakaria, 40, dari Perumahan Dara Chini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chini.Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pemandu MPV jenis Proton Exora bersama dua penumpang masing-masing berusia 51 hingga 67 tahun cedera.Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga dipercayai dalam perjalanan pulang dari arah Kuantan menghala ke Chini."MPV dipandu penjaga gudang logistik dinaiki dua penumpang itu pula dari arah bertentangan."Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa bergerak lurus, kereta mangsa dipercayai telah dilanggar MPV yang memasuki laluannya ketika sedang memotong kenderaan lain," katanya.Mohd Zaidi berkata, mangsa yang parah akibat kemalangan itu telah dibawa ke Klinik Kesihatan Chini dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.Katanya, tiga mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan lanjut."Kemalangan maut mengorbankan nyawa pemandu itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.