PARA penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diharap agar tidak menarik ‘brek tangan’ atau meninggalkan badan induk itu walaupun sekiranya mereka tewas dalam kes di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) nanti.Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, sokongan berterusan daripada segi penajaan rakan korporat dilihat amat kritikal demi kelangsungan pembangunan bola sepak negara."Orang kata jangan kita berkawan atau bersahabat pada waktu yang senang sahaja. Pada waktu gembira, kita bersama tetapi apabila rakan kita ditimpa susah, kita menambah kesusahan mereka dengan menjauhkan diri. Harap penaja ingatlah kawan pada waktu susah."Penaja perlu fikirkan juga tentang pembangunan bola sepak negara kita. Kalau penaja tarik diri, memang tiada apalah kita. Program FAM untuk pembangunan akar umbi dan berkaitan masa depan bola sepak negara akan terjejas," katanya kepada Sukan Sinar.Beliau mengulas mengenai kemelut isu pemalsuan dokumen membabitkan FAM dan tujuh pemain warisan negara yang kini sudah dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).Sebelum ini, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan beberapa penaja sudah menghubungi badan induk itu untuk mengetahui situasi sebenar isu tersebut.Dijangkakan keputusan di CAS nanti akan menjadi penunjuk arah kepada penaja sama ada mereka ingin meneruskan tajaan atau tidak kepada FAM.Mengulas lanjut, Pekan mengakui bahawa dari sudut perniagaan, penaja mempunyai hak untuk menamatkan kontrak sekiranya persatuan sukan terpalit dengan isu kontroversi yang boleh menjejaskan imej jenama mereka.Jelasnya, penaja juga berdepan tekanan daripada pihak berkepentingan dan pemegang saham yang pasti mempersoalkan dana dalam situasi sebegini."Memang biasanya dalam perjanjian penajaan ada peraturan berkaitan isu-isu begini. Jika terpalit kontroversi, kebanyakan penaja tidak mahu terlibat dan mereka ada hak untuk tamatkan hubungan."Jadi ini satu perkara yang kita tidak boleh buat apa-apa. Tetapi pada waktu sama, kita harap ada kesetiaan penaja yang masih kekal walaupun berlaku insiden membabitkan atlet atau persatuan."Kadang-kadang apa yang berlaku mungkin bukan disengajakan oleh FAM. Kita harap penaja faham dan terus menyokong demi kepentingan sukan negara," ujarnya.