KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak menulis surat terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia selepas dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion atas kesalahan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada Jumaat.Selain dibaca oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sidang media selepas prosiding di Istana Kehakiman, Putrajaya, surat berkenaan turut dimuat naik dalam akaun Facebook bekas Perdana Menteri itu.Dalam surat tersebut, bekas Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Pekan itu meluahkan rasa berat hati, namun menegaskan, perjuangannya bukan kerana dendam, sebaliknya berlandaskan prinsip."Ada ketika saya merasakan seolah-olah perjuangan ini harus saya pikul sendirian. Namun saya tetap bertekad untuk meneruskannya bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip," katanya.Justeru, kata Najib, tuntutannya hanyalah hak yang diperuntukkan undang-undang dan niatnya tidak pernah berubah – untuk menyumbang kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.Beliau menegaskan, usaha itu bukan untuk mengelak tanggungjawab, tetapi ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang."Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi serta menuntut pengorbanan besar. Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara," katanya.Dalam masa sama, Najib turut menggesa rakyat Malaysia kekal tenang, rasional dan berhemah serta tidak terpengaruh dengan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam."Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama," katanya.Pada Jumaat, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas 25 pertuduhan – empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA). - Awani