UMNO Puchong putuskan kerjasama politik dengan PH

SHAH ALAM – UMNO Bahagian Puchong memutuskan untuk menamatkan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong berkuat kuasa serta-merta.Setiausahanya, Mohamad Yusof Mohamed Yassin berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam yang ditetapkan berhubung kenyataan yang disifatkan tidak beradab, tidak sensitif dan tidak matang serta menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Menurutnya, tempoh permohonan maaf tersebut berakhir pada 24 Disember 2025, jam 4 petang namun tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak berkenaan."Keputusan ini terhad kepada peringkat Parlimen Puchong, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang dan Seri Kembangan."UMNO Bahagian Puchong tidak lagi terikat dengan sebarang persefahaman tidak rasmi dan tidak bertanggungjawab menjaga atau mempertahankan kepentingan politik PH Puchong," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Pada Selasa lalu, Pemuda UMNO Selangor dilaporkan telah menyerahkan memorandum bantahan di hadapan pejabat Bee Yin bagi mengecam kenyataan serta hantaran media sosial wakil rakyat itu yang didakwa bersifat biadab, sinis dan mencetuskan provokasi politik.Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, Bee Yin perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Najib dan keluarganya, serta kepada seluruh ahli UMNO dalam tempoh 24 jam.Dalam pada itu, Mohamad Yusof menegaskan bahawa keputusan tersebut merupakan isyarat bantahan dan pendirian tegas UMNO Puchong terhadap sikap, kenyataan serta tindakan pemimpin PH Puchong yang disifatkan mencabar maruah parti, prinsip Perlembagaan Persekutuan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa langkah itu tidak bermaksud UMNO Puchong keluar daripada Kerajaan Perpaduan, sama ada di peringkat nasional atau negeri."Ini merupakan pendirian politik setempat, selagi tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO atau kepimpinan Barisan Nasional di peringkat pusat."Susulan keputusan ini, UMNO Bahagian Puchong akan bergerak secara solo di peringkat Parlimen dan DUN, manakala sokongan kepada mana-mana calon PH Puchong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan menjadi bersyarat atau tidak diberikan sama sekali," ujarnya.