SHAH ALAM - Pelajar yang diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi Tahun 2026 dinasihatkan agar tidak menolak tawaran yang diberikan hanya disebabkan masalah kewangan keluarga.Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan bahawa pengurusan badan itu akan sedia membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah meneruskan pengajian dengan bantuan yang disediakan."Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan."Saya sudah minta pengurusan Mara dan MRSM agar bantu mereka yang susah, bantuan khas Budi Mara juga ada disediakan," nasihatnya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.Perkara itu disuarakan selepas beliau dimaklumkan mengenai hasrat sebuah keluarga susah di Pasir Mas, Kelantan untuk menolak kemasukan anak mereka ke MRSM Jeli atas faktor kewangan."Ayah tidak lagi bekerja selepas kemalangan manakala ibu hanya suri rumah di sebuah kampung pedalaman dan mempunyai adik-beradik empat orang."Mereka baru dapat makluman tawaran ke MRSM Jeli namun, dek memikirkan kos-kos perbelanjaan untuk ke MRSM dan sepanjang belajar di sana, mereka berkira-kira untuk menolak tawaran ini," katanya lagi.Beliau turut mengambil inisiatif menghubungi Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Noor Hariri Mohamed Nor untuk membantu perbelanjaan awal pelajar berkenaan.